Nampaknya, anakanda telah benar-benar menempuhi kerenah dunia realiti, satu demi satu anakanda harungi. Sebenarnya ianya adalah untuk menambah kematangan anakanda.
Anakanda,
Rasa tersingkir, hilang kepopularan, kemalangan, kehilangan dan sebagainya, jika berlaku pada diri kita sememangnyalah amat pedih dan sakit rasanya. Hati bagai dihiris-hiris, tercalar-calar dan berdarah-darah, dicincang-cincang hingga hancur berderai, dibakar atas zink hingga tidak dapat dikenal DNAnya. Huh, begitulah azab.
Apatah lagi kalau ianya berlaku buat pertama kali, si pelakunya pula orang yang kita sayangi dan percayai. Kenapa aku? Kenapa bukan orang lain? Apa salah aku? Seolah-olah satu loceng besar jatuh ke atasnya dan kita terkurung di dalam, gelap, tidak mampu mencari jalan keluar.
Tiba-tiba kita rasa disingkirkan? Seolah-olah kita berdosa besar pada mereka? Apa yang telah kita lakukan hingga tergamak mereka berperilaku begitu? Tanyalah diri berkali-kali, apakah kelemahan kita, adakah kita pernah berperilaku seperti perkara yang kita sendiri tidak suka? Kalau begitu perbaikilah kelemahan itu.Untuk mengetahui kelemahaan dan keburukan kita hanya boleh mendapati dari musuh kita, kawan baik tidak akan tega menceritakannya.
Jika keyakinan kita tinggi yang kita dipihak yang benar, letakkan penuh keyakinan bahawa itulah kesempatan yang diberi-Nya untuk mendekat diri kepada-Nya. Kita tidak pernah bersaorangan, kita ada Yang Maha Penolong yang Hakiki. Mintalah agar kita diberi gantian dengan yang lebih baik.
Ramai kawan, popular, dikenali ramai ke mana jua pergi, belum tentu mereka akan bersama menangis dengan kita. Apalah guna ramai kawan jika mereka hanya seperti buih, yang membawa kita lagha dan semakin cinta kepada dunia. Biar sedikit tapi bila bersamanya hati sentiasa hampir pada yang Esa.
Anakandaku,
Bonda bukanlah ahli psikologi atau motivator, mahupun guru kaunseling. Hanya seorang Ibu yang menulis mengikut kata hati dan kurniaan ilham yang dijelmakan-Nya setelah menghadapi sesuatu situasi.
Semoga warkah ini memberi sedikit kekuatan untuk anakanda meleraikan kemelut jiwa anakanda sehingga mengganggu tumpuan tugas anakanda.
Buat kal ini setakat ini sahajalah yang bonda mampu coretkan disini. Insya-Allah akan bonda susulkan lagi di masa dan situasi akan datang.
Wallahua'alam.
Salam rindu dari Bonda, kerana Allah.
~Trima Kaseh Ummi..Mama..Ibu...kerna sering memberi semngat ketika anakmu ini jatuh~




